SELANGOR FC
BERITA

Selangor FC Umum Kumpulan Johawaki Sebagai Rakan Strategik Baru

Jun 11, 2024 - FAS

Selangor FC Umum Kumpulan Johawaki Sebagai Rakan Strategik Baru untuk Musim 2024/25

SHAH ALAM - Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) mengumumkan Kumpulan Johawaki sebagai rakan strategik rasmi keluarga Gergasi Merah yang baru untuk saingan Liga Malaysia musim 2024/25 selepas kedua-dua pihak selesai menandatangani perjanjian kerjasama pagi tadi.

Kerjasama ini bakal menyaksikan sokongan berterusan daripada Kumpulan Johawaki kepada Kelab Bola Sepak Selangor dari segi penajaan kewangan untuk kemudahan latihan serta  pembangunan kelab. Dalam masa yang sama, logo Kumpulan Johawaki juga akan dipamerkan pada jersi pasukan pemain Selangor dan juga pelbagai aplikasi  digital pasukan sebagai penjenamaan kepada penaja.

Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung meriah di Pusat Latihan Rasmi Selangor  FC dan turut dihadiri oleh Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Encik Mohamad Akmal Johari serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Encik Mohamad Akmal Johari berkata, "Melihat kepada perkembangan prestasi Kelab Bola Sepak Selangor yang semakin meningkat cemerlang dengan halatuju yang konsisten semenjak berada di bawah kepimpinan DYTM Raja Muda Selangor, kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama strategik dan menjadi sebahagian daripada rakan rasmi keluarga Gergasi Merah menghadapi saingan Liga Malaysia bagi musim 2024/25 ini. Kami berharap kerjasama strategik ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan jenama syarikat dan membuka lebih banyak peluang penerokaan meluas serta memacu kedua-dua pihak ke arah kecemerlangan.”

“Kerjasama strategik korporat ini juga, adalah bukti tanda sokongan kami kepada negeri Selangor selari dengan usaha tanggunggjawab sosial syarikat yang peka dengan pembangunan sukan tempatan disamping membina hubungan baik bersama komuniti serta masyarakat. Kami mengambil kesempatan menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, pasukan pengurusan serta barisan pemain Selangor FC serta sentiasa mendoakan kejayaan Gergasi Merah dan Negeri Selangor khususnya. Semoga kerjasama ini akan menyuntik lebih semangat kepada para pemain untuk beraksi dengan lebih cemerlang serta mengembalikan zaman kegemilangan Red Giants,” tambahnya lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr. Johan Kamal Hamidon turut berkongsi rasa syukur beliau di atas penambahan rakan rasmi musim 2024/25 dan berharap ia mampu memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak.

"Kami di Selangor FC amat bersyukur serta berbangga kerana Kumpulan Johawaki turut ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Gergasi Merah bagi  musim 2024/25. Oleh itu, kami akan berusaha untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh pihak Johawaki dan kami akan terus berkongsi kepakaran antara satu sama lain bagi sama-sama mencapai matlamat kerjasama ini," menurut beliau.

Turut menzahirkan rasa gembira, Pengerusi Selangor FC, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejurus selesai majlis memeterai perjanjian sebentar tadi.

"Beta amat gembira dengan berita bahawa Kumpulan Johawaki ingin menjadi sebahagian daripada keluarga Selangor FC bagi  musim 2024/25. Beta berharap perjanjian kerjasama ini dapat menarik minat lebih banyak syarikat lain di Malaysia dan di luar negara untuk turut menjadi rakan strategik Selangor FC pada masa hadapan,” ujar Baginda.

Selangor FC berharap dengan kerjasama ini, kita akan sama-sama meraikan lebih banyak pencapaian cemerlang untuk musim 2024/25 ini.

Demi Kebanggaan!